Setiap keping setem yang dikumpul perlu dipelihara dengan rapi supaya ia tidak rosak dan pudar warnanya.
Oleh itu penting bagi kita mengetahui apakah yang boleh menjadi punca kepada kerosakan dan kepudaran warna setem. Tentunya kita tidak mahu setem yang warnamya cantik semakin pudar ditelan masa.
Berikut adalah beberapa panduan yang boleh membantu kita memelihara setem agar tahan lama dan kekal warna.
1. Pilih tempat atau lokasi yang sejuk tetapi kering untuk menyimpan koleksi setem.
2. Jangan merokok berdekatan setem kerana asap rokok yang mengandungi bahan kimia yang terdapat di dalam tembakau boleh melunturkan warnanya.
3. Unsur-unsur alam seperti hujan dan udara yang lembap serta tiupan angin boleh merosakkan setem. Oleh itu, pastikan setem tidak terkena atau terdedah pada unsur-unsur berkenaan.
4. Selain itu, perkara pertama dan paling penting yang perlu diketahui oleh para pengumpul setem ialah belajar menggunakan penyepit setem. Ia adalah satu alat yang dibuat khusus untuk memegang setem. Ia penting kerana kita tidak boleh menggunakan tangan untuk memegang setem yang akan dikumpul dan disimpan.
Terdapat banyak jenis penyepit setem. Ada yang nipis dan rata. Panjang penyepit yang profesional ialah 12.7 hingga 17.78 sentimeter dan mempunyai bentuk runcing pada hujungnya.
5. Penggunaan tangan untuk memegang setem boleh menyebabkan permukaan setem bercalar manakala minyak semulajadi pada tapak tangan boleh melunturkan warna setem termasuk menjejaskan pelekat setem.
Sumber: Akhbar Utusan Malaysia, Rabu, 6 Feb 2002
No comments:
Post a Comment